suria

Polis Tahan Lelaki Curi Barang Berharga Dalam Kereta Cuna 'Remote Decorder'

KUALA LUMPUR: Bermodalkan alat elektronik 'Remote Decoder' mudah bawa buatan Taiwan, seorang lelaki menjalankan kegiatan jenayahnya dengan mencuri barangan berharga milik mangsa yang diletakkan di dalam kereta.

Menjalankan kegiatan tersebut secara berseorangan, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu menggunakan modus operandi dengan memintas frekuensi penggera kereta menggunakan ‘Remote Decoder’ tersebut sebelum mencuri barangan berharga di dalam kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata taktik lelaki itu bagaimanapun terbongkar selepas polis melakukan serbuan di sebuah kondominium di Petaling Jaya pukul 2 petang, 13 Dis lepas hasil intipan dan maklumat orang awam.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, polis menemui satu alat yang dipercayai Remote Decoder Elektronik yang digunakan oleh suspek untuk mematikan sistem penggera kenderaan mangsa.

"Polis turut menjumpai empat komputer riba, satu ‘external hard disk’ serta pelbagai dokumen milik individu lain yang dipercayai dicuri oleh lelaki tersebut," katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dan baru sahaja dibebaskan dari penjara awal tahun ini.

"Kami (polis) percaya suspek mula bergiat aktif dalam jenayah ini sejak awal tahun ini sejurus dibebaskan dari penjara," katanya.

Zainuddin berkata dengan tertangkapnya lelaki tersebut, polis percaya telah berjaya menyelesaikan 10 kes curi dari kenderaan di sekitar daerah Dang Wangi yang dilaporkan sejak awal tahun. -- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain