suria

Lelaki Bolos Kawalan Polis Di Mahkamah Kangar Ditahan Semula

KANGAR: Seorang lelaki yang memboloskan diri daripada kawalan polis di kompleks Mahkamah Kangar pada Isnin lalu, selepas dituduh kerana kesalahan penyalahgunaan dadah, ditahan semula di Kuala Kedah malam Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Supt Mohd Nashir Ya berkata, lelaki berumur 25 tahun yang beralamat di Kampung Baru, Jalan Sarawak, Kuala Perlis itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kuala Kedah yang sedang membuat rondaan kira-kira pukul 9.15 malam.

Menurutnya, lelaki itu ditahan setelah didapati berada dalam keadaan mencurigakan dan siasatan mendapati lelaki itu adalah suspek yang memboloskan diri daripada kawalan polis dalam kejadian 24 Disember lalu.

Mohd Nashir berkata, polis mendapat perintah menahan reman lelaki itu selama empat hari mulai Jumaat untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari Isnin lalu, lelaki berkenaan merempuh anggota polis yang mengawalnya di hadapan tandas di bilik saksi mahkamah selepas gari dibuka dan berlari ke arah Hospital Tuanku Fauziah lalu menghilangkan diri.

Katanya, gerakan memburu lelaki itu dilancarkan sejurus selepas kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana memboloskan diri daripada tahanan yang sah.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain