suria

Kerajaan Tidak Kurangkan Perbelanjaan Bagi Merangsang Ekonomi

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengurangkan perbelanjaan bagi merangsang ekonomi domestik untuk manfaat semua ahli perniagaan tanpa mengira kaum, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata bagi menampung impak kelembapan ekonomi global, kerajaan perlu merangsang pendapatan domestik dan penggunaan memandangkan ini boleh membantu menampung ekonomi walaupun sumbangan eksport dan pembuatan susut.

"Ia ibarat air pasang yang mengapungkan bot, memandangkan jika prestasi ekonomi Malaysia tidak baik, semua pihak akan terjejas, bukan sahaja kaum Cina.

"Jika kedudukan ekonomi secara umumnya baik, semua orang berpeluang untuk memperoleh manfaat, termasuk Cina," katanya.

Sambil berkata bahawa kerajaan akan terus memain peranan sebagai pemudah cara, beliau menekankan bahawa Program Transformasi Ekonomi (ETP) bermatlamat meningkatkan pendapatan boleh belanja rakyat Malaysia.

"Jika tiada ETP, ekonomi kita mungkin seperti ekonomi lain yang terjejas akibat kelembapan ekonomi dunia," kata Dr Chua.

ETP menggariskan langkah yang akan mentransformasikan Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menggerakkan negara supaya setaraf dengan negara berpendapatan tinggi yang lain, ia akan meningkatkan pendapatan negara kasar (PNK) Malaysia perkapita daripada US$6,700 atau RM23,700 pada 2009 kepada lebih daripada US$15,000 atau RM48,000 pada 2020.

ETP akan memerlukan sektor awam dan swasta untuk bekerja secara usaha sama untuk melaksanakan 131 Projek Permulaan (EPP) meliputi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Mengenai pembiayaan, Dr Chua berkata ia merupakan isu lain, memandangkan kebanyakan bank konservatif dan mereka mahu kolateral yang mencukupi.

"Ini terutama apabila berlaku ketidaktentuan ekonomi, orang semakin berhati-hati," katanya.

Dalam hubungan ini, Presiden MCA berkata Skim Jaminan Bantuan PKS yang disediakan oleh SME Bank, Agrobank, Bank Rakyat dan EXIM Bank menyediakan jaminan pembiayaan dan modal yang diperlukan oleh perniagaan kecil dan sederhana yang menghadapi masalah memperoleh pembiayaan berikutan kedudukan ekonomi yang sukar.

"Ia merupakan cabaran untuk beralih daripada industri kecil dan sederhana kepada konglomerat atau meningkatkan rangkaian nilai tambahan.

"Anda perlukan modal, kepakaran dan pengalaman selain pengetahuan teknikal," katanya dan menambah ahli perniagaan Cina masih berjaya dan dapat menembusi sektor tertentu dalam ekonomi.

Dari segi menjalankan perniagaan di Malaysia, beliau berkata negara ini telah mencatat banyak kejayaan dan peningkatan dalam sektor utama ekonomi.

"Prestasi sektor pembinaan dan pelancongan mencatat pertumbuhan pesat. Sektor pembinaan mencatat pertumbuhan dua angka tahun ini," katanya.

Bagi industri pelancongan, Dr Chua berkata ia membantu mengekalkan prestasi ekonomi.

"Hari ini kita merupakan negara kesembilan yang kerap dilawati di dunia, dengan pendapatan kira-kira RM1 bilion seminggu.

"Dan, kita tidak dapat nafikan bahawa kemudahan untuk menjalankan perniagaan juga semakin meningkat, berdasarkan laporan penarafan oleh agensi antarabangsa," katanya.

Menurut "Doing Business Report 2013" Bank Dunia, Malaysia merupakan ekonomi ke-12 paling kompetitif di dunia untuk menjalankan perniagaan.

Ini merupakan peningkatan ketara daripada tempat ke-23 pada 2010.

"Selain itu, Malaysia juga merupakan destinasi menarik untuk pelaburan langsung asing, yang diperlukan untuk meningkatkan ekonomi.

"Bagaimanapun, masih terdapat penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam bidang ini.

"Ramai tidak puas hati berikutan kekerapan perubahan terhadap dasar pekerjaan pekerja asing.

"Proses permohonan untuk pekerja asing perlu dipermudah," kata Dr Chua dan menambah, dasar perlu telus bagi memudahkan orang ramai. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain