suria

Mohd Isa Nafi Pernah Lobi Jadi Pengerusi KPF

MERSING: Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menafikan beliau pernah melobi supaya namanya dicalonkan untuk bertanding sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Malah Mohd Isa berkata beliau sendiri tidak pernah mendaftar dan menghantar nama kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menjadi calon pengerusi atau ahli lembaga pengarah KPF.

"Tuduhan kononnya saya nak jadi pengerusi ini tidak berlaku. Jika hendak bertanding lembaga pengarah koperasi, kita mesti mendaftar nama dengan SKM kerana mereka akan menilai dan meneliti latar belakang serta kewangan calon.

"Saya nak memberitahu saya dan Felda tidak terbabit. Saya tidak mendaftarkan diri saya untuk bertanding dan tidak berniat untuk menjadi pengerusi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran rumah contoh projek Sentuhan Kasih Felda di Felda Tenggaroh 3, di sini, Rabu.

Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak termasuk Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) mengatakan wujud salah guna kuasa dan campur tangan dalam mesyuarat agung KPF ke-31 Jun lepas.

Isa berkata isu pelantikannya sebagai pengerusi KPF timbul ketika penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) kerana bagi menjamin tadbir urus yang baik dan beliau adalah calon terbaik ketika itu.

"Tetapi disebabkan beberapa masalah timbul, saya tidak jadi pengerusi. Selepas daripada penyenaraian itu, saya tidak ada membuat sebarang rayuan sehingga kini kerana penyenaraian sudah wujud, jadi tidak perlulah saya jadi pengerusi lagi.

"KPF adalah hak SKM. Apabila ada pihak yang membantah beberapa kesalahan teknikal yang dibuat ketika mesyuarat agung yang lalu, maka pihak SKM memanggil kedua-dua pihak dengan mengadakan tribunal untuk berbincang," katanya.

Katanya tribunal membuat keputusan berdasarkan perbincangan dan menyatakan KPF perlu mengadakan mesyuarat agungnya semula.

"Apa masalahnya buat mesyuarat agung? Tetapi saya difahamkan KPF membuat rayuan di mahkamah untuk tangguhkan dan itu urusan mahkamah dan SKM," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain