suria

Kertas Siasatan Kes Kemalangan Bas Kilang Siap 90 Peratus

NIBONG TEBAL: Laporan lengkap kes kemalangan membabitkan sebuah bas kilang di Km 150.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Bukit Tambun minggu lalu akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya tidak lama lagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat berkata laporannya sudah 90 peratus siap.

"Saya percaya dapat selesaikan sepenuhnya tidak lama lagi. Kita juga sudah dapatkan keterangan daripada pemandu bas berkenaan. Keadaannya kini beransur pulih tetapi masih dirawat di Hospital Seberang Jaya.

"Berdasarkan keterangan saksi yang berada ketika kejadian, kita memang percaya bas berkenaan dipandu melebihi had laju. Kita akan serahkan laporan lengkap kes itu kepada pihak pendakwa raya dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau ditemui pada program High Profile Policing yang dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (KDN/KA), Datuk Seri Salleh Mat Rasid di Pasar Awam Sungai Bakap dan Pasar Pagi Jalan Badak, di sini, Khamis.

Dalam kemalangan pukul 6.30 pagi Jumaat lalu itu, sebuah bas kilang membawa 18 pekerja Canon Electronics (M) Sdn Bhd di Perai terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Satria yang mengakibatkan dua penumpang bas berkenaan terkorban.

Dua pekerja turut parah sementara 15 lagi termasuk pemandu bas, Kamaruddin Derais, 50, cedera.

Kejadian dikatakan berlaku ketika bas yang dalam perjalanan dari Batu Kurau, Perak menuju ke Kawasan Perindustrian Perai hilang kawalan dan bergesel dengan kereta berkenaan.

Sementara itu Shafien berkata pihaknya masih mengesan individu dan kenderaan yang terbabit dengan kemalangan yang mengorbankan seorang kanak-kanak di Km 168.4 Lebuhraya Utara Selatan arah ke utara pada 18 Dis lepas.

"Kita berharap orang ramai dapat tampil untuk memberi keterangan terutama pemandu kenderaan berat yang terbabit dalam kejadian tersebut," katanya.

Dalam kemalangan pada pukul 8.45 malam itu, Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam, maut di tempat kejadian selepas diseret kenderaan dipercayai kenderaan berat sejauh 10 kilometer, sebelum mayatnya ditemui berhampiran Hentian Sebelah Sungai Bakap arah utara.

Manakala enam anggota keluarganya yang lain termasuk ibu bapanya cedera. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain