suria

BN Salur Bantuan Kepada Rakyat Tanpa Sebarang Ikatan, Kata Soon Koh

KUCHING: Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sarawak tidak pernah membezakan dalam memberikan bantuan antara mereka yang menyokongnya pada pilihan raya dan mereka yang tidak menyokongnya, kata Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh Khamis.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa percaya kepada penilaian dan penghakiman rakyat untuk memutuskan jenis kerajaan untuk memimpin mereka.

"Barisan Nasional ialah kerajaan yang prihatin dan kami melakukan yang terbaik untuk membantu pelbagai organisasi untuk menjalankan aktiviti mereka, sama ada dalam bidang pendidikan, kebajikan, sukan dan malahan hal ehwal agama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran projek kecil dan kampung bernilai lebih RM450,000 kepada 54 badan bukan kerajaan di pejabatnya di Petra Jaya, di sini.

Wong berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah besar geran diberikan kepada kawasan-kawasan bandar di negeri ini walaupun pada pilihan raya umum lepas menunjukkan majoriti pengundi di kawasan berkenaan tidak menyokong BN.

Menurutnya, hasrat kerajaan negeri memberikan bantuan itu ialah untuk memastikan penerima dapat menjalankan aktiviti mereka yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat dan menggalakkan suasana harmoni.

Wong, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Sarawak berkata kerajaan negeri tidak mengharapkan apa-apa sebagai balasan kecuali rakyat memahami yang ia mahu mengekalkan kestabilan di negeri ini.

Beliau berkata BN telah membuktikan bahawa sejak ia memerintah Sarawak, negeri ini telah menikmati kestabilan politik yang membolehkan rakyat menikmati persekitaran sosial yang kondusif, toleransi beragama dan kebebasan mengamalkan kebudayaan masing-masing.

"Ia (persekitaran kondusif) tidak wujud secara automatik dan saya berharap rakyat tidak meremehkannya. Ia datang dan wujud kerana usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan BN," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain