suria

Rakyat M'sia Meninggal Dunia Di Pejabat Konsulat Jeneral M'sia Medan

JAKARTA: Seorang lelaki warganegara Malaysia meninggal dunia di pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan awal pagi Selasa beberapa jam setelah beliau dihantar ke situ dalam keadaan lemah oleh dua lelaki tidak dikenali.

Lelaki itu yang dikenal pasti sebagai Syed Kamarul Bahrin Syed Sulaiman, 62, dari Kampung Baru, Kuala Lumpur, meninggal dunia dalam tidur di satu ruangan di mana beliau ditempatkan sementara.

Doktor mengesahkan bahawa kematian beliau adalah kerana sebab-sebab biasa dan pihak berkuasa tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat.

Konsul Muda Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Nor Azhar Hajis ketika dihubungi berkata, dua warganegara Indonesia yang tidak dikenali telah menghantar Syed Kamarul Bahrin ke depan pejabat itu lewat petang Isnin dan menyerahkannya kepada dua pengawal keselamatan yang sedang bertugas pada ketika itu.

Mereka memberitahu pengawal keselamatan bahawa Syed Kamarul ditemui di bandar Medan dan mengambil keputusan menghantarnya ke pejabat Konsulat Jeneral Malaysia setelah mendapati beliau seorang warganegara Malaysia.

"Melihat beliau dalam keadaan lemah, kami mahu membawa dia ke hospital untuk rawatan tetapi dia menolak dan hanya meminta kami bantu uruskan kepulangannya ke tanah air," katanya.

Nor Azhar berkata, pihaknya tetap berusaha untuk membawa doktor ke pejabat itu untuk merawatnya tetapi doktor tidak dapat segera datang pada malam itu.

"Allahyarham dalam keadaan baik pada tengah malam sebelum tidur namun ketika petugas mahu mengejutkannya untuk solat subuh, dia didapati sudah meninggal dunia," kata beliau.

Nor Azhar berkata, pihaknya dapat menghubungi keluarganya di Kuala Lumpur berpandukan kepada catatan pada dokumen yang ditemui pada dirinya dan memaklumkan mengenai berita kematiannya.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Hospital Daerah Medan untuk pemeriksaan dan selepas selesai semua urusan keterangan polis, jenazah itu telah diterbangkan pulang ke tanah air, pada Selasa.

Jenazah Syed Kamarul Bahrin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang malam Selasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain