suria

PNB Agih Pendapatan ASN 6.30 Sen Seunit

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada Rabu mengumumkan kadar pengagihan pendapatan di dalam anak syarikat milik penuhnya, Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2012, sebanyak 6.30 sen seunit, yang merupakan jumlah yang terbaik dalam tempoh 12 tahun ini.

Jumlah itu merupakan peningkatan 0.25 sen berbanding tahun lepas, dan ia bakal diterima oleh seramai 1.23 juta pemegang unit yang melanggan 1.46 bilion unit ASN.

Peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran RM92.18 juta berbanding RM89.5 juta yang dibayar pada tahun lepas.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, dari tempoh antara 31 Disember 2011 dan 24 Disember 2012, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah mencatat peningkatan 9.1 peratus, daripada 1,530.73 mata yang dicatat pada 30 Disember, 2011 kepada 1,669.40 mata pada 24 Disember, 2012.

Dalam tempoh itu, KLCI telah mencecah paras terendah 1,504.22 mata pada 4 Januari, 2012 dan mencatatkan paras tertinggi pada 1,675.69 mata pada 1 November, 2012.

"Secara keseluruhannya, KLCI didagangkan dalam aliran meningkat sepanjang tempoh dalam tinjauan dengan beberapa siri penurunan indeks yang disebabkan krisis hutang zon Eropah yang berterusan serta di samping kelembapan ekonomi negara maju," katanya.

Ahmad Sarji berkata, dalam tempoh kewangan yang sama, ASN memperoleh pendapatan kasar RM114.58 juta di mana pendapatan dari keuntungan jualan saham menyumbang RM66.38 juta atau 57.9 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar.

"Pendapatan dividen yang diterima dari pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang RM34.90 juta atau 30.5 peratus dan selebihnya, iaitu RM13.30 juta (11.6 peratus) adalah daripada pendapatan lain," katanya.

Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember, 2012.

Para pemegang unit boleh mengemaskinikan buku pelaburan di pejabat-pejabat ASNB atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari, 2013. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain