suria

Mangsa Banjir Di Pantai Timur Meningkat Kepada 17,4443 Petang Rabu

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir yang melanda negeri di Pantai Timur semakin buruk dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan di Kelantan, Pahang dan Terengganu meningkat kepada 17,443 petang ini berbanding 13,746 orang pagi Rabu.

Keadaan banjir di Terengganu paling buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 10,412 orang petang ini berbanding 6,550 pagi Rabu.

Menurut portal banjir negeri, mangsa yang paling ramai dipindahkan sehingga 6 petang ini ialah di daerah Besut seramai 2,666 orang diikuti Kemaman (2,272 orang), Dungun (1,983 orang), Hulu Terengganu (1,390 orang), Besut (1,088 orang), Kuala Terengganu (807 orang) dan Marang (206 orang).

Sehingga tempoh itu, 30 pusat pemindahan dibuka di Setiu, Kemaman (23), Dungun (29), Hulu Terengganu (16), Besut (10), Kuala Terengganu dan Marang (masing-masing 7).

Setakat ini, banjir di Terengganu meragut dua nyawa, iaitu seorang wanita Samhanim Ramli, 36, yang lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Lanjut di Jambatan Permaisuri, Setiu semalam dan terbaharu, seorang remaja Mohd Hamidi Abdul Hamid, 15, yang lemas ketika bermain air di kawasan perumaham Bukit Mentok pada kira-kira 2 petang.

Kelantan menjadi negeri kedua terburuk dilanda banjir apabila seramai 4,513 mangsa dicatat petang ini berbanding 4,127 orang pagi tadi yang ditempatkan di 39 pusat pemindahan, demikian menurut portal rasmi kerajaan negeri itu.

Jajahan Pasir Mas terus menyaksikan peningkatan terbesar pemindahan mangsa iaitu seramai 3,074 orang ke 21 pusat diikuti Tumpat (342), Kuala Krai (280), Tanah Merah (272), Kota Baharu (260), Pasir Puteh (248) dan Machang (37).

Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah dan Sungai Golok di Rantau Panjang, yang paras air masih melepasi bahaya, bagaimanapun susut sedikit berikutan cuaca mendung sejak pagi Rabu.

Tiada jalan utama ditutup kepada laluan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan di negeri itu.

Sementara itu, Pahang mencatat penurunan mangsa banjir dengan 2,473 orang petang ini berbanding 3,196 pagi tadi ekoran cuaca yang agak baik, menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Bagaimanapun, katanya, daerah Kuantan masih mencatat jumlah pemindahan mangsa paling tinggi iaitu seramai 2,231 orang di 11 pusat manakala 620 mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing.

"Di daerah Pekan, jumlah mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang masih kekal seramai 206 orang. Manakala dua pusat pemindahan di daerah Rompin dan Jerantut telah ditutup, dan kesemua mangsa telah pulang ke rumah sejak tengah hari tadi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata lima laluan di daerah Kuantan masih ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir sejak kelmarin di jalan Sungai Lembing-Kuantan iaitu di KM16, KM28, KM30 dan Jambatan Sungai Charu ke Sungai Lembing dan KM18 Jalan Kuantan By-Pass, Gebeng. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain