suria

Dua Anggota Polis Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah

KUANTAN: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan menerima rasuah pada 2010 dan tahun ini.

Sarjan Mohamad Sohaimy Arshad, 50, yang bertugas di bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bera didakwa memperoleh suapan sebagai dorongan untuk melepaskan tanpa syarat Saiful Fazli Hanipah yang disyaki melakukan kesalahan mencuri motosikal yang menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa menerima suapan bernilai RM1,000 daripada Nor Liza Mohamed di dalam Restoren Ujang Cafe, No 25, Jalan Teo Joo, Bera, pukul 4.45 petang pada 3 Januari lepas.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh yang sama di hadapan Pasaraya Big 10 Super Store pada pukul 9.45 malam, tertuduh didakwa menerima suapan bernilai RM300 daripada Saiful Izwan Hanipah atas sebab yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohamad Sohaimy melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan boleh dihukum dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Fathiyah Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, Sarjan Mejar Azizan Saad, 53, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh didakwa memperoleh suapan wang tunai RM500 daripada Chew Kok Roon yang dikatakan menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 10.05 malam, 17 Ogos 2010 di belakang pusat hiburan BB Pun cafe, Mentakab.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan boleh dihukum dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Fathiyah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,00 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Norazman Jaya dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain