suria

Pasar Raya Terbakar, Pemilik Rugi RM6 Juta

TUMPAT: Seorang lelaki kerugian kira-kira RM6 juta selepas pasar raya miliknya yang beroperasi di Pasir Pekan di sini musnah dalam kebakaran awal pagi Isnin.

Chew Ee Suan, 51, berkata kejadian kira-kira 4.30 pagi itu dipercayai berlaku akibat litar pintas.

Beliau hanya mengetahui mengenai kebakaran itu selepas dihubungi seorang pengawal keselamatan yang bertugas pada waktu itu.

"Ketika tiba di pasar raya, saya dapati api sedang marak dan merebak ke seluruh bangunan.

"Saya tak mampu berbuat apa-apa...hanya melihat api marak membakar pasar raya saya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kelantan Sharin Yusmal Mat Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira 4.45 pagi sebelum tujuh jentera dengan 30 anggota dari Balai Tumpat, Pengkalan Kubor, Kota Darulnaim, Kota Baharu dan Pasir Mas digegaskan ke tempat kejadian.

Beliau berkata kebakaran dapat dikawal 40 minit kemudian.

Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain