suria

Keng Yaik Perancang Sebenar Universiti Terbuka Wawasan

GEORGE TOWN: Mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik merupakan perancang sebenar di sebalik Universiti Terbuka Wawasan (WOU).

Pengerusi Lembaga Pengelola WOU, Prof Emeritus Tan Sri Gajaraj Dhanarajan berkata, mendiang juga merupakan inspirasi dan pemacu kepada penubuhan WOU.

"Beliau adalah penaung yang prihatin dan berusaha memastikan universiti kekal bebas sebagai institusi akademik dan tidak dipengaruhi unsur politik serta campur tangan lain.

"Bekerja dengan beliau dalam menubuhkan WOU merupakan satu keseronokan dan juga keistimewaan dan kami akan merindui cara kepimpinannya yang unik," katanya dalam kenyataan, di sini Isnin.

Naib Canselor WOU, Prof Datuk Dr Ho Sinn Chye berkata, mendiang Dr Lim yang percaya dengan pendidikan sepanjang hayat, sentiasa menggesa WOU agar kekal relevan dengan menyediakan program yang memenuhi keperluan pencari pekerjaan kontemporari.

Mendiang Dr Lim berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis WOU sejak 2005 dan kemudian dilantik sebagai canselor pada 9 Mei 2011 bagi tempoh tiga penggal.

Beliau dilantik secara rasmi sebagai canselor kedua WOU pada 19 November 2011.

Majlis terakhir yang dihadiri mendiang ialah konvokesyen ketiga WOU yang berlangsung di Pulau Pinang pada 24 November lepas.

Dr Lim, 73, meninggal dunia pada petang kelmarin di kediamannya di Damansara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain