suria

Jumlah Mangsa Banjir Di Kelantan Dan Pahang Menurun Sedikit

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Pahang menyaksikan sedikit penurunan pada malam Selasa dengan maklumat terkini menunjukkan lebih 5,300 mangsa dipindahkan berbanding lebih 5,500 mangsa pada sebelah petang.

Kira-Kira lebih 3,000 mangsa banjir di Kelantan dicatat malam ini berbanding 2,000 pada sebelah petang manakala di Pahang, sejumlah 2,329 mangsa dipindahkan berbanding 2,152 orang petang tadi, menurut portal rasmi kerajaan negeri masing-masing.

Sementara itu, Di KELANTAN, seramai 3,340 orang dipindah membabitkan 938 keluarga yang ditempatkan di 39 pusat pemindahan.

Bagi Jajahan Pasir Mas, jumlah terbesar mangsa yang dipindahkan membabitkan seramai 2,096 orang diikuti Kuala Krai (430), Kota Baharu (264), Pasir Puteh (245), Tanah Merah (217), Machang (47) dan Tumpat (41).

Jumlah itu dijangka bertambah berikutan paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang dilapor terus meningkat dan melepasi paras bahaya.

Dua lagi sungai yang mencatat paras bahaya ialah Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah.

Tinjauan Bernama di beberapa kampung berhampiran mendapati hanya beberapa jalan ditutup kepada kenderaan manakala jalan utama masih boleh dilalui meskipun ada sesetengah kawasan terjejas teruk dengan air naik hingga ke bumbung rumah.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku di Kelantan ketika ini, dan keadaan cuaca mendung dengan sesekali hujan renyai.

Sementara itu, situasi di PAHANG terus membimbangkan dengan jumlah mangsa banjir terus meningkat apabila 2,329 orang ditempatkan di 15 pusat pemindahan di Kuantan, Rompin dan Pekan, Selasa.

Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis negeri, sehingga 7 petang, daerah itu mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 2,121 orang yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan.

"Pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Galing menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu seramai 898 mangsa daripada 205 keluarga.

"Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan menempatkan 516 mangsa daripada 163 keluarga; SK Cenderawasih (276) daripada 72 keluarga; Balai Raya Sungai Soi (32) daripada enam keluarga; Dewan Orang Ramai Balok (36) daripada tujuh keluarga; Balai Raya Kampung Pahang (36) daripada sembilan keluarga; Balai Raya Tanjung Lumpur (22) daripada lima keluarga dan Balai Raya Anak Air (102) daripada 13 keluarga," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata 11 jalan ditutup iaitu sembilan di Kuantan dan dua di Jerantut.

"Laluan yang ditutup melibatkan empat jalan di Sungai Lembing iaitu Kilometer 30 selepas Perumahan Kolek, Kilometer 28 Sungai Charu, Kilometer 16 Sungai Riau dan Jambatan Sungai Charu.

"Jalan lain yang ditutup ialah Kilometer 40 Cherating depan SK Cherating, Kilometer 32 Sungai Ular berhampiran kawasan Jambatan dan Kilometer 24 Bukit Pengorak Cherating," katanya.

Katanya, di Jerantut pula, laluan yang ditutup ialah Jambatan Besi Sungai Oak Kuala Tahan dan Jalan Kampung Terisik-Kampung Belebar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain