suria

Halang Pegawai DBKL: Penuntut Kolej Dapat Tangguh Hukuman Penjara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Isnin membenarkan permohonan penangguhan hukuman penjara sebulan ke atas penuntut kolej swasta Umar Mohammad Azmi yang didapati bersalah menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada menjalankan tugasnya.

Hakim, Datuk Amelia Tee Hong Geak Abdullah bagaimanapun memerintahkan jumlah jaminan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM5,000 dan mengarahkan Umar menghadiri semua prosiding kes pada masa akan datang yang ditetapkan mahkamah.

Amelia turut mengarahkan Umar, 23, selaku pemohon supaya tidak terlibat dalam apa-apa kes jenayah.

Pada Jumaat lepas, Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 selepas Umar didapati bersalah dengan sengaja menghalang pegawai itu, Mohd Masran Mamat, 34, menjalankan tugasnya untuk menangkap seorang lelaki.

Pada 23 April lepas, Umar didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Merdeka, Jalan Raja di sini pada 8.05 pagi, sehari sebelum itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya P.Viknesvaran manakala Umar diwakili peguam Shahredzan Johan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain