suria

PM Sedih Dengan Kematian Lim Keng Yaik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau amat sedih apabila mendengar berita kematian bekas Presiden Gerakan, Tun Dr Lim Keng Yaik yang meninggal dunia, pada Sabtu.

Perdana Menteri berkata Lim merupakan seorang yang mempunyai perwatakan yang baik dan pemergiannya merupakan kerugian besar kepada negara.

"Dalam kerjaya cemerlang yang menjangkau lima dekad, Tun Dr Lim terbukti menjadi seorang tokoh inspirasi ahli politik yang didorong komitmen tinggi beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, Ahad.

Najib berkata sebagai menteri Kabinet selama 22 tahun, mendiang Dr Lim berkhidmat dengan cemerlang dan memainkan peranan yang besar dalam transformasi negara dan membantu membina sebuah masyarakat yang stabil dan makmur.

"Semua rakyat Malaysia terhutang budi kepada beliau. Tun Dr Lim bukan sahaja seorang pemimpin yang hebat, bahkan rakyat Malaysia yang hebat.

"Beliau adalah seorang pejuang dan kita akan akan merasai kehilangan beliau. Ingatan kami kini bersama keluarga dan rakan baik beliau," katanya.

Dr Lim, 73, meninggal dunia di kediamannya di Country Resort Tropicana, Petaling Jaya pada 4.45 petang Sabtu.

Beliau meninggalkan isteri, Toh Puan Wong Yoon Chuan dan tiga anak. - BERNAMA

Artikel Lain