suria

Penduduk Kawasan Rendah Kelantan Dinasihat Sedia Hadapi Banjir

KOTA BAHARU: Penduduk yang tinggal di kawasan rendah terutama di tebing sungai di Kelantan dinasihat mula bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan akibat banjir.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman berkata ini berikutan hujan yang berterusan sejak seminggu lepas dan paras air sungai utama dilaporkan mula meningkat.

"Saya nasihatkan mereka mula bersiap sedia dan jika tiba masanya untuk berpindah jangan tunggu sehingga diarahkan berbuat demikian.

"Keadaan sekarang di Kelantan masih terkawal dan belum ada lagi kawasan yang mula ditenggelami air," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di sini, Ahad.

Semua sungai utama di Kelantan kini hampir melepasi paras normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang telah melepasi amaran iaitu pada bacaan 8.46 meter pada 3 petang ini.

Paras amaran di sungai itu adalah pada 8 meter manakala bahaya 9 meter dan keadaan cuaca di Kelantan kini hujan renyai yang disusuli hujan lebat terutama di pedalaman.

Beliau berkata jabatan itu kini sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi musim tengkujuh termasuk menubuhkan unit rondaan bagi memantau kawasan rendah.

"Unit baru ini penting yang akan bergerak ke kawasan tertentu untuk memberi maklumat terkini keadaan banjir kepada bilik kawalan kita," katanya.

Azmi berkata jabatan itu juga turut dilengkap unit perubatan kecemasan dan unit kaunseling bagi membantu mangsa banjir. Beliau berkata jika keadaan semakin buruk, pihaknya akan meminta bantuan jabatan Bomba di negeri-negeri lain. - BERNAMA

Artikel Lain