DUNGUN: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah ini meningkat kepada 144 orang setakat pukul 6 petang tadi selepas dua lagi kampung dilanda bencana itu, Ahad.Jurucakap bilik gerakan banjir daerah berkata dua kampung terbabit ialah Kampung Batu Riong dengan 20 mangsa daripada tujuh keluarga dan Kampung Tok Kah membabitkan 29 orang daripada empat keluarga. Mereka dipindahkan pukul 12 tengah hari tadi, katanya.Malam Sabtu, sebanyak 95 mangsa membabitkan 17 keluarga dari tiga buah kampung dipindahkan selepas kawasan rumah masing-masing mula dinaiki air sejak 9 malam.Mereka membabitkan masing-masing tujuh keluarga dari Kampung Tanjung Pagar dan Kampung Pulau Serai serta tiga keluarga dari Kampung Seberang Pintasan. Menurut jurucakap itu hujan lebat yang turun di daerah Dungun sejak petang semalam menyebabkan kawasan-kawasan rendah mula ditenggelami air.Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan paras air di semua sungai utama di Terengganu masih pada paras normal, kecuali sungai Nerus, Setiu berada pada tahap amaran.Jurucakapnya berkata bacaan pada pukul 3 petang tadi menunjukkan aras air sungai itu kini meningkat kepada 21.1 meter berbanding paras normal 17 meter.Paras bahaya ialah 21.5 meter, katanya. BERNAMA