suria

Seorang Maut, Dua Parah Dalam Kemalangan Di Dungun

DUNGUN: Seorang remaja maut manakala dua lagi rakannya cedera parah apabila kereta Proton Waja yang mereka naiki hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Bukit Bauk, di sini malam Jumaat.

Mangsa Nurul Syazwani Roslan, 20, berasal dari Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu yang parah di bahagian kepala dan kecederaan dalaman meninggal 2 pagi tadi di Hospital Dungun selepas diberi rawatan kecemasan.

Kejadian kira-kira 11.20 malam itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Waja yang dinaiki mangsa terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Rakan mangsa, Umi Fatihah Halim Shukri, 17, dari Rumah Murah Alor Lintang, Besut dilaporkan kritikal manakala rakan lelaki mereka, Hasrul Arif Jamal Abdul Nasir, 22, parah.

Pemandu proton waja terbabit, Nazli Mohd Jusoh, 30, cedera ringan manakala pemandu sebuah lagi kereta Mohd Jusoh Dollah, 40 turut parah.

Kesemua mangsa yang tersepit di tempat duduk berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Ketika kejadian, keempat sahabat terbabit dalam perjalanan dari Kemaman untuk pulang ke rumah masing-masing di Kuala Terengganu manakala Mohd Jusoh dalam perjalanan dari Bandar Dungun ke Rumahnya di Paka.

Kesemua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau menasihati semua pemandu supaya memandu dengan berhemah dan berhati-hati terutama pada musim hujan yang mula melanda negeri ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain