suria

Semua Calon BN Perlu Jalani Proses Tapisan SPRM - PM

NEW DELHI: Semua calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya perlu ditapis dan 'dibersihkan' oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata ia adalah amalan standard BN untuk mengemukakan nama-nama calon yang berpotensi kepada SPRM untuk semakan.

"Semua calon Barisan (Nasional) pergi melalui proses pemeriksaan oleh SPRM. Kami merujuk nama-nama mereka kepada SPRM, dan jika mereka mempunyai fail yang meragukan, mereka tidak akan lulus dalam proses tapisan.

"Ia adalah pendirian Barisan bahawa setiap calon mesti lulus dalam proses tapisan SPRM," katanya kepada delegasi media Malaysia di sini, Jumaat.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaafar bahawa semua parti politik menghantar senarai calon-calon mereka untuk pemeriksaan oleh suruhanjaya itu.

Ditanya jika senarai calon-calon pilihan raya telah dimuktamadkan, Najib berkata, ia adalah satu proses yang berterusan.

"Walaupun kita mempunyai senarai, jika kita mendapat input atau maklumat terbaru, perubahan boleh dibuat selagi pengumuman (pencalonan) tidak dibuat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain