suria

Peniaga Hampir Putus Telinga Kiri Ditetak Penyamun

KOTA BAHARU: Seorang peniaga makanan haiwan hampir kehilangan telinga kiri selepas ditetak seorang lelaki dalam cubaan menyamun kedai mangsa di Bukit Marak pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, Mohd Kamarulzaman Ibrahim, 45, mendakwa disembur serbuk lada ketika berjalan ke keretanya oleh suspek sehingga menjejas penglihatan beliau.

Mohd Kamarulzaman yang terkejut dengan tindakan itu cuba melarikan diri, namun suspek bertindak agresif mengejar mangsa sebelum menetaknya dengan senjata tajam dipercayai pedang.

"Ketika itu, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana mata pedih akibat semburan serbuk lada tersebut, bagaimanapun, saya sempat melihat terdapat seorang lelaki menunggang motosikal datang mengambil suspek sebelum mereka sama-sama melarikan diri.

"Sejurus kejadian, saya menggagahkan diri ke kedai rakan... selepas itu, saya memandu bersendirian ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk rawatan kecemasan," katanya ketika ditemui di hospital itu.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Daerah Bachok DSP Ab Rahim Che Ghani berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain