suria

Enggan Beri Wang Perlindungan: Pemilik Restoran Di Raub Nyaris Dipukul Samseng

KUANTAN: Seorang pemilik restoran nyaris dipukul tiga lelaki yang meminta 'wang perlindungan' dalam satu kejadian di Raub pada kira-kira 4.20 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, tiga lelaki berusia 30-an memasuki restoran mangsa dengan masing-masing membawa sebotol minuman keras, dan mereka dikatakan tidak mempedulikan pelanggan lain apabila terus berborak sambil meneguk minuman keras serta menikmati hidangan yang dipesan.

Ketua Polis Daerah Raub Superintenden Wan Samsudin Wan Osman berkata mereka berang selepas ditegur mangsa kerana meneguk minuman keras di restorannya dan mengarahkan mangsa membayar RM240 sebulan sebagai wang perlindungan.

"Bagaimanapun, mangsa enggan menunaikan permintaan tiga samseng terbabit kerana tapak perniagaan mangsa sah diluluskan oleh Majlis Daerah Raub," katanya kepada pemberita, Sabtu.

Wan Samsudin berkata seorang daripada mereka cuba memukul mangsa selepas merosakkan pelbagai barangan dalam restoran itu namun sempat dihalang rakannya sendiri.

"Ketiga-tiga lelaki itu kemudian bertindak meninggalkan restoran itu dan mangsa membuat laporan berhubung kejadian terbabit di Balai Polis Raub kira-kira pukul 7 pagi semalam," katanya sambil menambah polis akan mengambil langkah awal dengan mengadakan rondaan lebih kerap serta memantau keadaan di restoran mangsa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain