suria

Anggota Polis Lari Dari Tugas Ditahan Ketika Pecah Masuk Rumah

BESUT: Seorang anggota polis berumur 35 tahun yang lari dari tugas sejak Mac lalu ditangkap dan dibelasah penduduk kampung selepas dia memecah masuk sebuah rumah di Kampung Bukit Keluang di sini awal pagi Jumaat.

Dia yang sebelum ini bertugas di Cawangan Tugas Am di Balai Polis Pasir Akar, Hulu Besut cedera parah dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu.

Anggota polis itu yang luka parah di tangan kiri dan lebam di belakang badan diberikan rawatan awal di Hospital Daerah Besut dan kemudiannya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan menurutnya anggota polis itu telah memecah masuk sebuah rumah di kampung itu melalui tingkap.

Katanya ketika terserempak dengan seorang daripada anggota keluarga tuan rumah berkenaan Maimunah Yaacob, 51, suspek memberi alasan mencari makanan kerana lapar.

"Ketika suspek masih berada dalam rumah, seorang ahli keluarga mangsa telah sempat memanggil penduduk kampung yang kemudiannya datang dan membelasah serta menangkap suspek", katanya.

Tuan rumah kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis yang kemudiannya menangkap dan membawa suspek mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Besut, katanya.

Noor Zainy berkata siasatan awal mendapati tuan rumah mengenali suspek kerana dia pernah beberapa kali datang ke rumahnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain