suria

Tidak Sempat Bersekolah Semula Kanak-Kanak Maut Dilanggar Lori

KUANTAN: Seorang kanak-kanak maut akibat dilanggar lori ketika sedang melintas jalan di Km 12, Jerantut-Batu Embun berhampiran Jerantut petang Jumaat.

Mohamad Faizul Arzula, 11, dari Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dalam kemalangan kira-kira 4.45 petang itu.

Difahamkan, mangsa berkunjung ke rumah datuknya di Batu Embun, Jerantut bersama keluarganya sempena musim cuti sekolah.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail berkata mangsa bersama dua lagi rakan yang berusia 12 dan 13 tahun dikatakan telah pergi ke kebun berhampiran rumah datuknya untuk memetik buah rambutan.

"Selepas memetik buah, mangsa mahu pulang semula ke rumah datuknya dan ketika melintas jalan raya, sebuah lori telah merempuh mangsa," katanya.

Pemandu lori tersebut yang berumur 25 tahun datang dari arah Jerantut menuju Lipis dikatakan tidak sempat mengelak mangsa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain