suria

Polis T'ganu Tahan Lima Lelaki Indonesia Disyaki Lakukan Samun

KEMAMAN: Polis Terengganu berjaya menahan sekumpulan lima lelaki warga Indonesia semalam yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun di sekitar negeri ini dan Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K.Manoharan berkata kesemua mereka diberkas di sebuah rumah di Jalan Air Puteh Taman Samudera Timur, di sini pukul 7 malam, dan turut dijumpai bersama mereka sejumlah barang dan senjata digunakan untuk menyamun.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 30 tahun itu ditahan kurang 24 jam selepas dipercayai melakukan samun ke atas tujuh sekeluarga di Kampung Mak Chili, di sini kira-kira pukul 5.10 pagi semalam.

"Sejurus menerima laporan, polis menubuhkan satu unit petugas dan berjaya mengesan suspek dalam serbuan ke rumah berkenaan. Di rumah itu pihak polis menemui jam tangan, telefon bimbit, barang kemas, wang tunai, pisau dan pemutar skru," katanya ketika dihubungi.

Manoharan berkata tiga daripada suspek dipercayai memasuki kediaman keluarga berkenaan melalui tingkap dan bertindak mengikat tiga penghuni berumur antara 24 hingga 57 tahun menggunakan tali.

Katanya, suspek yang bertutup kain batik pada muka bersenjatakan pisau dan pemutar skru kemudian melarikan beberapa buah telefon bimbit, barang kemas, jam tangan dan wang tunai RM850 daripada rumah mangsa.

"Dengan tertangkapnya suspek, kami percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun di negeri ini dan dipercayai mereka turut terlibat dalam beberapa kes samun di negeri lain," katanya.

Manoharan berkata kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjata. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain