suria

Polis Tahan 14 Suspek Pergaduhan di Setapak

KUALA LUMPUR: Polis menahan 14 suspek bersama empat botol petrol, lima bilah parang, dua batang besi, empat batang rotan dan satu wayar kabel selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Setapak.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur ACP Khairy Ahrasa berkata 14 suspek lelaki yang berusia lingkungan 19 dan 30 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan.

Beliau berkata dalam kejadian 3.30 pagi itu, unit rondaan bermotosikal polis terserempak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Ayer Panas, Setapak dan pemeriksaan mendapati mereka membawa empat botol petrol, sumbu serta pemetik api.

"Hasil siasatan mendapati dua lelaki itu cuba membalas dendam terhadap sekumpulan lelaki yang bergaduh dengan mereka di sebuah restoran di kawasan tersebut. "Berikutan itu, kita menahan 12 lelaki lagi di Taman Danau Kota di sini," katanya kepada Bernama pada Jumaat. Khairy berkata siasatan awal mendapati 14 suspek itu dipercayai anggota kongsi gelap 'Geng 08' dan 'Geng 18' yang disyaki bergaduh kerana tidak berpuas hati antara satu sama lain.

Seorang daripada suspek turut mempunyai tiga rekod jenayah dalam kes samun di sekitar ibu kota, katanya.

Beliau berkata dengan penahanan 14 suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes bakar motosikal di sekitar Setapak sejak awal tahun ini. Khairy berkata semua suspek kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan api atau bahan letupan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain