suria

Kes Sreesanthan: Persoalan Undang-Undang Perlembagaan Akan Diputuskan Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini memberi kebenaran kepada peguam yang mewakili peguam korporat Datuk E.Sreesanthan untuk merujuk kepada Mahkamah Tinggi berhubung soal undang-undang perlembagaan, termasuk kuasa pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) memasuki premis walaupun tidak mempunyai waran geledah.

Hakim Datuk Rozana Ali memberitahu Datuk Cyrus Das, peguam utama yang mewakili Sreesanthan, bahawa oleh kerana notis permohonan yang difailkan pasukan pembelaan pada 19 September melibatkan soal undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, maka semua persoalan yang dibangkitkan perlu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum bermulanya perbicaraan sebenar.

Cyrus memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan akan memaklumkan kepada mahkamah rendah (Mahkamah Sesyen) tentang kedudukan permohonan itu di Mahkamah Tinggi.

Selain isu waran geledah, pemohon (Sreesanthan) juga meminta mahkamah membuat tafsiran tentang Seksyen 128 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 yang memperuntukkan kuasa merampas dan menahan sebarang dokumen daripada seseorang semasa penyiasatan kes jenayah dijalankan.

Pada 19 September juga, Sreesanthan, 52, memfailkan permohonan berasingan untuk mengetepikan kesemua tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadapnya oleh SC.

Pada 20 Julai, Sreesanthan, bekas pengarah bebas bukan eksekutif Sime Darby Bhd, meminta dibicarakan terhadap tujuh tuduhan berkaitan urus niaga dalaman melibatkan 625,000 saham Sime Darby Bhd, Maxis Communications Bhd, UEM World Bhd dan VADS Bhd.

Beliau didakwa menggunakan maklumat tentang pemerolehan, penswastaan dan urusan penstrukturan semula korporat syarikat tersebut yang dimilikinya antara 2006 dan 2008 untuk memperoleh saham berkenaan.

Bagi tiga tuduhan pertama, Sreesanthan didakwa memperoleh 75,000 unit saham Sime Darby Bhd, sebelum sebuah syarikat yang ditubuhkan khas dikenali sebagai Synergy Drive Sdn Bhd, memperoleh sembilan syarikat untuk diletakkan dalam kumpulannya, termasuk Sime Engineering Services Bhd, Golden Hope Plantations Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd.

Dua lagi tuduhan melibatkan pembelian 200,000 unit saham UEM World Bhd dan 100,000 unit saham VADS Berhad ketika beliau mempunyai maklumat dalaman tentang penyusunan semula korporat UEM Group dan cadangan penswastaan VADS Bhd.

Dua tuduhan terakhir melibatkan 250,000 saham Maxis Communications Bhd, yang didakwa diperolehnya sebelum cadangan pengambilalihan bersyarat semua saham undian dalam Maxis oleh Binariang GSM Sdn Bhd dilaksanakan.

Semua tuduhan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Bhd di Bukit Kewangan di sini antara 9 Oktober 2006 dan 18 Oktober 2008.

Jika disabitkan kesalahan, Sreesanthan boleh dikenakan denda minimum RM1 juta dan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun bagi setiap kesalahan mengikut Akta Industri Sekuriti 1983 dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain