suria

Kerajaan Pusat Komited Bantu Sekolah Agama Rakyat - Muhyiddin

YAN: Kerajaan pusat sentiasa komited dan bersedia membantu meningkatkan mutu pelajaran di Sekolah Agama Rakyat (SAR) melalui pelbagai bentuk bantuan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata tiada yang lebih penting kepada kerajaan pusat selain untuk melihat anak-anak bangsa dalam sistem SAR tidak tercicir daripada sistem pendidikan kebangsaan.

"Kerajaan pusat menawarkan peluang kepada SAR menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

"Harus ada kerjasama yang erat... bukan tujuan kerajaan pusat untuk mengambil alih SAR," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan dengan kepimpinan SAR dan Pondok Tahfiz seluruh Kedah di Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Alhalimiah, Padang Lumat di sini Khamis.

Muhyiddin berkata tanggungjawab mendidik anak bangsa merupakan fardu kifayah yang mesti ditunaikan sebaik-baiknya dan penting untuk memastikan pendidikan yang berkualiti disampaikan melalui sistem yang tersusun serta rapi.

Katanya malang bagi negara yang mendukung prinsip Islamiah jika tidak ada pendidikan agama yang betul-betul berkualiti.

"Kalau ada yang cakap kerajaan pusat abaikan prinsip untuk tegakkan syiar Islam, itu adalah fitnah dan penafian hakikat tentang apa yang kita ada," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pengasas SAR yang belum menerima untuk menjadi SABK memikirkan semula tawaran kerajaan itu demi mengekalkan warisan pendidikan berteraskan agama.

Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada 12 SAR dan RM20,000 bagi tujuh pondok tahfiz di Kedah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain