suria

Kenaikan Cukai Taksiran Kerana Perubahan Kegunaan Tanah - Datuk Bandar Shah Alam

SHAH ALAM: Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan pada Khamis berkata semakan cukai taksiran ke atas pemilik-pemilik tanah di Kampung Baru Subang dan Kampung Baru Sungai Buloh dibuat berikutan pembinaan bangunan baru, perubahan kegunaan bangunan dan aktiviti semasa di kawasan itu.

Beliau berkata oleh kerana perubahan aktiviti utama kedua-dua kampung baru itu daripada pertanian kepada perindustrian, kadar taksiran yang sebelum ini antara satu hingga dua peratus di bawah kadar pertanian ditubah kepada kadar kategori perindustrian pada kadar tujuh hingga 7.5 peratus.

"Bagi lot-lot tanah pertanian yang masih lagi menjalankan aktviti pertanian, cukai taksiran masih kekal seperti dahulu dan tiada perubahan nilaian," katanya pada sidang media bagi menjelaskan kadar cukai baru taksiran itu di sini.

Pada Rabu, sekumpulan penduduk mengadakan tunjuk perasaan di hadapan ibu pejabat MBSA bagi membantah kenaikan cukai taksiran itu, yang mereka dakwa bertambah melebihi 10 kali ganda berbanding kadar lama.

Mohd Jaafar berkata terdapat 680 pegangan lot tanah di Kampung Baru Sungai Buloh terletak di Seksyen U4 dan Seksyen U19 Shah Alam manakala terdapat 838 lot pegangan tanah Kampung Baru Subang yang yang terletak di Seksyen U3 dan Seksyen U6 di sini.

Melalui Rancangan Tempatan MBSA (Pengubahan 1) 2020 yang telah diwartakan pada 21 Jun tahun ini, kedua-dua kawasan itu dizonkan sebagai zon industri.

Beliau berkata ada sesetengah pemilik tanah yang mempertikaikan kenaikan cukai taksiran itu, tidak menceritakan keuntungan yang diperoleh semasa kilang mereka beroperasi sehingga mampu mengeskport produk ke luar negara di atas tanah berstatus pertanian kira-kira 10 hingga 15 tahun lepas.

"Sekarang ada di antara lot-lot tanah itu didirikan hingga tujuh kilang dalam satu lot atau hingga lima bangunan seperti rumah, stor, kilang, rumah pekerja dan kedai didirikan dalam satu lot tanah," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Jaafar berkata MBSA sedia mendengar bantahan yang dikemukakan mereka ke atas taksiran cukai yang dikenakan bagi tahun hadapan dan pada hari ini sahaja, MBSA telah menemui lebih 80 pemilik tanah.

"Ada di antara mereka mempertikaikan nilai tahunan ke atas cukai yang dikenakan berdasarkan anggaran kasar sewa yang boleh diperolehi setahun jika pegangan terlibat disewakan.

"Ada yang mendakwa nilai sebuah rumah untuk disewakan di Kampung Baru Subang pada anggaran MBSA sebanyak RM1,800 adalah terlalu tinggi dan tidak munasabah, dan ada yang mendakwa mereka mengenakan sewa yang rendah terhadap tapak-tapak kilang berdasarkan perjanjian jangka panjang dengan penyewa berbanding taksiran MBSA yang lebih tinggi," katanya.

Oleh itu, Mohd Jaafar berkata Kerajaan Negeri telah membentuk Jawatan Kuasa Mendengar Bantahan Pemilik-pemilik Tanah pada 19 Dis lepas yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Beliau berkata bantahan akan diteliti oleh jawatankuasa itu dan ia mungkin mengambil masa sebulan atau lebih dalam menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh pemilik-pemilik tanah.

Mengenai ketidapuashatian para pemilik tanah yang mendakwa keadaan prasarana yang tidak setimpal dengan kenaikan cukai, beliau berkata pada tahun ini, MBSA membelanjakan RM2.2 juta untuk kerja-kerja penyenggaraan termasuk pengutipan sampah domestik, pembersihan kawasan, kerja-kerja pangkasan pokok/landskap dan penyelenggaran infrastruktur seperti pembaikan jalan, lampu jalan dan longkang.

Beliau berkata bukan semua kerja penyediaan infrastruktur di bawah tanggungjawab MBSA sebaliknya kemudahan perparitan di bawah tanggungjawab Jabatan Parit dan Saliran selain kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan di bawah Jabatan Kerja Raya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain