suria

Kastam Melaka Rampas Rokok Tidak Sah Bernilai RM498,214

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka menahan dua lelaki warga tempatan dan merampas 912,480 batang rokok tidak sah bernilai RM498,214 termasuk cukai di dua lokasi berbeza di sini, Jumaat.

Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Said berkata dalam rampasan pertama pada 10 pagi tadi, seorang pemandu lori berusia 30-an ditahan bersama 52,480 rokok putih jenama Manchester bernilai RM28,654 termasuk cukai dalam satu sekatan jalan raya melibatkan 10 anggota JKDM Melaka di Jalan Ayer Keroh-Bemban di sini.

"Hasil siasatan terhadap pemandu lori tersebut, kita berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 30-an sejam kemudian dan merampas 860,000 batang rokok jenama sama bernilai RM469,560 di sebuah stor di Durian Tunggal," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan dan Seksyen 135(1)(d) akta sama kerana mengawal dan menyimpan barang-barang larangan.

Katanya pemeriksaan awal mendapati kotak rokok yang dipercayai diedarkan untuk pasaran Melaka dan selatan tanah air itu disyaki menggunakan dakwat keselamatan palsu.

Mohd Nasir berkata sepanjang November hingga hari ini, JKDM Melaka berjaya merampas pelbagai jenama rokok tidak sah bernilai RM8.3 juta termasuk cukai dan merampas tujuh lori yang digunakan sebagai medium pengedaran rokok terbabit.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemilik lori supaya berhati-hati dalam melakukan sewaan kenderaan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali bagi mengelak lori mereka digunakan sindiket pengedaran rokok tidak sah.

"Pemilik lori akan turut disiasat secara terperinci sekiranya kenderaan mereka ditahan mengangkut rokok tidak sah," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain