suria

URB Mulakan Operasi Secara Rasmi Malam Ini

KUALA LUMPUR: Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang diperkenalkan Polis Diraja Malaysia sebagai langkah untuk mengurangkan masalah jenayah di kawasan tumpuan ramai, memulakan operasinya malam Khamis.

Tinjauan Bernama di Jalan Bukit Bintang di sini mendapati URB Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi yang beroperasi 24 jam memberi tumpuan kepada kawasan orang ramai dan kawasan panas yang sering berlaku jenayah.

Ketua Unit Rondaan Motosikal IPD Dang Wangi Insp Rastam Affandi Md Ramli berkata URB beroperasi dalam tiga syif tugasan dengan unit rondaan itu turut mendekati masyarakat selain mencegah jenayah.

"Unit ini menyasarkan untuk menurunkan jenayah jalanan yang menjadi kebimbangan orang ramai. Diharap penubuhan unit ini dapat membantu meredakan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah," katanya ketika ditemui di sini, malam Khamis.

Beliau berkata lima anggota bermotosikal ditugaskan bagi setiap syif tugasan dan IPD Dang Wangi mempunyai sejumlah 24 motosikal untuk kegunaan URB.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan URB Selasa lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berharap URB dapat membawa rasa selamat dalam kalangan penduduk di kawasan perumahan.

"Kami mahu orang ramai merasakan diri mereka selamat dari sebarang ancaman jenayah dengan adanya URB," katanya kepada Bernama selepas memberi taklimat kepada anggota-anggota URB sebelum mereka memulakan tugas di Balai Polis Alam Damai, Cheras di sini, petang Khamis.

Beliau berkata anggota URB akan meronda 24 jam sehari mengikut syif dengan 12 peronda bertugas setiap lapan jam bermula 7 pagi.

"Mereka akan meronda di kawasan-kawasan perumahan di sekitar daerah Cheras," katanya.

Polis Cheras diberi 46 motosikal untuk tugasan URB.

Dalam pada itu, orang ramai menyambut baik penubuhan URB yang dilihat mampu menurunkan kadar jenayah terutamanya membabitkan jenayah jalanan seperti ragut dan samun.

Pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta, Susan Chow, 29, berharap URB dapat membantu mengurang jenayah di kawasan tumpuan orang awam terutama jenayah yang menyasarkan wanita sebagai mangsa.

Penuntut institusi pengajian tinggi awam, Aiman Mohmad Rasul, 23, pula menganggap penuhuhan URB tepat pada masanya dalam usaha kerajaan menurunkan kadar jenayah. - BERNAMA

Artikel Lain