suria

Tuntutan Kerusi Tambahan DAP Belum Tentu Ditunaikan - Anwar

PETALING JAYA: Permintaan DAP untuk mendapatkan tambahan 13 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) masih lagi di peringkat perbincangan Jawatankuasa Perundingan Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Anwar berkata setakat ini PR masih mengekalkan status quo yang digunakan pada PRU 2008 sebagai rujukan mereka.

"Kita cuba elak daripada perbincangan terbuka kerana hal ini pun masih belum sampai kepada saya.

"Di peringkat negeri kita bincangkan dan gunakan status quo 2008, kemudian ditentukan sama ada ditambah dan dikurangkan, dan hal ini akan dirundingkan di peringkat parti masing-masing," katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Khamis.

Pada konvensyen tahunan DAP minggu lalu, parti itu telah menuntut 13 kerusi tambahan merangkumi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 kerusi Parlimen.

Anwar menegaskan tuntutan DAP itu akan dinilai dengan teliti oleh Jawatankuasa Perundingan dan sekiranya tuntutan itu tidak munasabah ia tidak akan diberikan.

"Kalau minta melebihi daripada munasabah ia tidak boleh diterima. PAS-DAP-PKR boleh minta beberapa kawasan mengikut keupayaan mereka untuk menang.

"Belum tahu lagi semua yang diminta akan dapat kerana ia masih diperingkat perbincangan oleh Jawatankuasa Perundingan yang dianggotai oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Pakar Strategi DAP Liew Chin Tong," katanya.

Jelas Anwar, setakat ini 90 peratus pembahagian kerusi telah selesai dan hanya tinggal beberapa kawasan seperti di Perak, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak belum selesai sepenuhnya.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga ketua umum PKR berkata kekalahan semua calon Melayu pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) minggu lalu bukan satu isu besar.

"Soal berapa calon Melayu, Cina, India menang tidak penting. Ini kerana mereka akan diberi pertimbangan untuk dilantik.

"Semua tahu majoriti ahli DAP adalah Cina, jadi perwakilan pun semua majoriti Cina, tapi sekarang ini saya lihat ada penambahan orang Melayu dalam DAP," katanya.

Menurut Anwar, pertambahan ahli Melayu bagaimanapun belum cukup untuk memberi impak untuk mereka dipilih sebagai pimpinan tertinggi parti itu.

"Ahli DAP bukan memilih pimpinan mengikut bangsa. Macam Karpal Singh beliau dipilih bukan kerana dia etnik minoriti.

"Tradisi mereka berbeza, memilih pemimpin yang popular dalam memperjuangkan hak rakyat seperti Teresa Kok, Chin Tong, Lim Guan Eng.

"Ahli DAP pilih berdasarkan kekuatan individu itu sendiri," katanya.

Artikel Lain