suria

Skuad Muda KDN Kini Dianggotai 1.14 Juta Sukarelawan

KOTA BARU: Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang diwujudkan sebagai pemangkin kepada gelombang sukarelawan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini, kini mempunyai 1.14 juta anggota.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata skuad itu dianggotai sukarelawan di bawah agensi kementerian itu seperti Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Penjara dan Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis).

"Saya amat yakin skuad yang diterajui generasi muda dari seluruh negara ini akan menjadi pemangkin kepada gelombang sukarelawan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Gelombang Kedamaian 1KDN dan Pelancaran Tabung Kecemasan Gaza di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC Kelantan) di Tunjong di sini, Khamis.

Lee berkata perhimpunan Skuad Muda KDN serta pemimpin KDN itu diadakan bagi mewujudkan gelombang keamanan sejagat selain mengecam kekejaman yang dilakukan Israel di bumi Gaza.

"Suara kecil kita ini kalau digabungkan bakal membentuk satu gelombang yang besar dalam menyuarakan keamanan dan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin," katanya.

Sementara itu, Lee berkata kelonggaran kawalan bagi lawatan keagamaan ke Israel diberikan dengan mengambil kira tempat penting dan bersejarah yang ada kaitan dengan keagamaan di kawasan itu.

Beliau berkata lawatan rakyat Malaysia ke Israel atau sebaliknya tidak dibenarkan selaras dengan dasar kerajaan yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan tiada hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, kerajaan memberi pengecualian bagi lawatan ke Israel dalam bentuk keagamaan, katanya dalam kenyataan akhbar yang diedarkan kepada pemberita kemudian.

Akhbar pada Khamis melaporkan dasar kerajaan sebelum ini mengehadkan hanya 700 rakyat Malaysia dibenarkan ke Israel setiap tahun dengan setiap gereja hanya boleh menghantar 40 penganutnya dan tinggal di sana selama 10 hari.

Kelonggaran itu diberikan bermula 30 Okt tahun ini selepas mengadakan perbincangan dengan Christian Federation of Malaysia (CFM) dan beberapa panduan baharu telah digariskan.

Antaranya ialah tiada kuota dikenakan bagi lawatan keagamaan ke Israel, bilangan anggota lawatan tidak dihadkan dan kawasan lawatan juga tidak dihadkan, namun bergantung kepada kebenaran pihak berkuasa Israel.

Selain itu, kekerapan lawatan untuk seseorang individu dalam sesuatu tempoh juga tidak dihadkan, manakala tempoh lawatan dilanjutkan sehingga 21 hari.

Bagaimanapun garis panduan tersebut boleh berubah dan tertakluk kepada situasi semasa keselamatan di Israel.

KDN juga meluluskan 50 permohonan daripada 1,568 orang sejak April 2011 hingga 2012 bagi tujuan itu selain meluluskan 11 permohonan melibatkan 222 orang untuk lawatan ke Israel pada awal tahun hadapan. - BERNAMA

Artikel Lain