suria

Sirim Hasilkan Implan Tulang Muka Lebih Murah, Berkualiti

KUALA LUMPUR: Mangsa kemalangan yang mengalami keretakan atau rosak bahagian muka dan gigi akan berpeluang mendapat implan tulang muka dan bahagian gigi yang lebih murah dan berkualiti dengan penciptaan produk baharu implan aloi titanium.

Penyelidik Sirim Berhad Dr Rosdi Ibrahim berkata produk itu menggunakan teknik suntikan acuan logam (PIM) bagi membentuk implan daripada serbuk titanium yang diikat dengan ekstrak minyak kelapa sawit.

"Teknik ini lebih menjimatkan kerana implan dibentuk daripada serbuk titanium berbanding teknik biasa yang mana implan dibentuk daripada titanium besar yang dipotong sehingga kecil, mengakibatkan pembaziran titanium.

"Penggunaan ekstrak minyak kelapa sawit sebagai bahan pengikat pula menjadikan implan tersebut berciri 'biocompatibility' atau lebih sesuai dan 'harmoni' dengan sel-sel badan manusia," katanya.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sirim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi projek penghasilan implan aloi titanium di sini, Khamis.

Ia ditandatangani Presiden dan Ketua Eksekutif Sirim Berhad Dr Zainal Abidin Yusof, Dekan Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan UTM Profesor Dr Jasmy Yunus, Dekan Fakulti Pergigian UM Profesor Dr Rosnah Mohd Zain dan Ketua Pusat Kajian Perubatan Herba IMR Dr Zakiah Ismail.

Dr Rosdi yang juga penyelaras projek berkata kajian dan penghasilan paten implan itu mengambil masa lima tahun mulai 2007 dan kini di fasa akhir iaitu proses pengkomersialan.

"Sebuah syarikat swasta berminat mengeluarkan implan itu dan setelah selesai majlis memeterai perjanjian bulan depan, jika tiada sebarang halangan, proses pengeluaran dijangka bermula Mac (tahun hadapan)," katanya.

Dalam pada itu, Dr Zainal Abidin dalam ucapannya berkata penghasilan implan itu akan mengurangkan import implan titanium bernilai jutaan ringgit dari luar negara khususnya Eropah dan Amerika Utara.

"Projek kerjasama ini juga akan memberi manfaat kepada kerajaan, institusi penyelidikan dan universiti disebabkan pembangunan sistem pengikat baru berdasarkan komposisi derivatif minyak sawit.

"Justeru, penyelidik dan saintis boleh terus menerokai komposisi dan parameter lain semasa mencampurkan bahan bagi mengoptimumkan fizikal dan peralatan mekanikal," katanya.

Tambahnya, sistem pengikat berasaskan minyak kelapa sawit itu akan turut memberi manfaat dalam bidang automotif dan industri aeroangkasa di samping mengurangkan kos pengeluaran memandangkan Malaysia ialah antara negara pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia. - BERNAMA

Artikel Lain