suria

PKR Gesa KPT Beku Pengambilan Baru ISMP di IPTS - Rafizi

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membekukan pengambilan baru kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di universiti swasta (IPTS) bagi mengelakkan masalah pengangguran di kalangan pelajar jurusan berkenaan.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli mendakwa masalah pengangguran yang melibatkan kira-kira 2,000 pelajar ISMP Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) berlaku disebabkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak memberi peluang sama rata dalam permohonan mereka untuk menjadi guru di sekolah kerajaan.

"KPT juga perlu bertanggungjawab terhadap nasib graduan-graduan ini kerana institusi swasta yang paling rancak menawarkan kursus ISMP.

"Mereka (KPT) juga meluluskan kuota pengambilan pelajar ISMP kepada Unitar seolah-olah memberi gambaran bahawa graduan-graduan ini akan mendapat pekerjaan dalam perkhidmatan perguruan negara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Khamis.

Sementara itu, Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia, Haziq Abdul Aziz berkata sehingga kini terdapat 2,000 graduan jurusan pendidikan Unitar yang masih menganggur.

"2,000 graduan ISMP ini dikatakan tidak layak untuk memohon pekerjaan sebagai guru di sekolah-sekolah kerajaan walaupun Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengiktiraf ijazah pendidikan Unitar.

"Malah silibus ISMP Unitar adalah sama dengan silibus ISMP di Maktab Perguruan dan Institut Pengajian Tinggi Awam, namun mereka tidak diberi peluang yang sama rata dalam permohonan untuk menjadi guru," katanya.

Justeru, beliau menggesa KPT segera campurtangan dalam isu berkenaan memandangan kursus tersebut telah diluluskan oleh kementerian kepada universiti swasta berkenaan.

"KPT adalah pihak yang memberikan kelulusan kepada Unitar untuk menawarkan kursus ISMP akan tetapi tidak dapat memberi jaminan pekerjaan kepada graduan ISMP Unitar.

"Mengapa KPT memberi kelulusan kepada UNITAR untuk tawarkan kursus ISMP tetapi tidak dapat memberi jaminan peluang pekerjaan kepada graduan untuk kursus tersebut?" soalnya lagi.

Beliau juga menyeru agar peluang penempatan sama rata diberikan kepada mahasiswa ISMP.

"Graduan ISMP IPTS perlu diberi peluang sama rata dalam permohonan penempatan sebagai guru di sekolah-sekolah kerajaan.

"Kerajaan perlu selesaikan masalah pengangguran yang melibatkan graduan ISMP lepasan IPTS. Peluang permohonan adalah sebaiknya mengikut merit," katanya lagi.

Artikel Lain