suria

Pembantu Kedai Perabot Didakwa Halang Anggota Polis Jalankan Tugas

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kedai perabot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini terhadap dua tuduhan menghalang dua anggota polis menjalankan tugas sehingga menyebabkan kedua-dua mereka cedera di bahagian mata, empat hari lepas.

Bagi pertuduhan pertama Maikir Jumadil, 25, didakwa dengan sengaja menghalang detektif Lans Koperal Nizam Abd Wahab daripada menjalankan tugasnya sehingga menyebabkan detektif itu cedera di bahagian bawah mata sebelah kiri.

Manakala untuk pertuduhan kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan menghalang detektif Lans Koperal Muhamad Nizam Mustapha daripada menjalankan tugasnya sehingga menyebabkan Muhamad Nizam mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kanan.

Maikir didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan Jalan Mega Mendung, Brickfields dekat sini pada 4 petang, Ahad lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wong Chai Sia menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh daripada Biro Bantuan Guaman memohon jaminan rendah dikenakan kepada tertuduh kerana Maikir hanya berpendapatan RM600 sebulan.

Majistret Zaki Asyraf Zubir membenarkan Maikir diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jan depan untuk sebutan kes. BERNAMA

Artikel Lain