suria

Operasi Unit Rondaan Bermotosikal Akan Diperluas - PM

SEDIA BERKHIDMAT... Sebahagian daripada 560 Unit Rondaan Bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersusun kemas sebelum majlis pelancaran unit rondaan tersebut yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Padang Awam Bandar Kinrara, K.Lumpur, Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia memperluaskan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) oleh anggota polis jika ia didapati berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata operasi unit itu yang dilancarkan di Puchong hari ini akan dikaji keberkesanannya dalam tempoh enam bulan sebelum kerajaan membuat keputusan untuk menambah peruntukan untuk tujuan itu.

"Saya berharap ia (URB) akan diberi peluang untuk melakukan tugasan mereka, dalam tempoh masa enam bulan ini kita akan buat kajian semula.

"Kalau buddy system iaitu dua anggota menunggang motosikal pada setiap masa didapati berkesan dan amat berfaedah, maka kerajaan sanggup menambahkan lagi bilangan anggota bermotosikal ini.

"Tak payah tunggu bajet 2014, bajet 2013 kita boleh tambah lagi untuk tunjuk yang kita komited dan serius untuk memerangi jenayah," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran URB Polis Diraja Malaysia di Bandar Kinrara, Puchong di sini.

Katanya kerajaan komited dan serius memerangi jenayah bagi memenuhi tuntutan rakyat yang mahu menikmati kesejahteraan hidup di negara ini.

Najib berkata URB akan melakukan rondaan selama 24 jam di kawasan perumahan dalam tiga syif serta kawasan sibuk seperti kawasan perniagaan, perindustrian, taman rekreasi dan sekolah.

Bagi peringkat permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal Kawasaki Ninja 250 yang dilengkapi dengan sistem lampu dan siren telah disediakan untuk pelaksanaan program di empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Semasa membentangkan Belanjawan 2013, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan RM20 juta bagi URB untuk memantau kawasan perumahan khususnya.

Dalam pada itu, Najib mengakui masih lagi wujud isu 'jurang persepsi' dalam usaha kerajaan memerangi jenayah di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sentiasa mengambil sikap untuk melipatgandakan usaha mengurangkan kadar jenayah termasuk menyediakan peruntukan dalam Belanjawan 2013 bagi pelaksanaan Fasa kedua bidang keberhasilan utama negara (NKRA) selain memperkenalkan inisiatif-inisiatif untuk membanteras jenayah.

"Oleh itu, kita tidak seharusnya membuang terlalu banyak masa untuk berdebat dari segi polemiknya. Sebaliknya kita harus mengambil sikap dan pendirian bahawa rakyat masih mahukan kita melipatgandakan usaha kita," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut meminta supaya komuniti setempat sentiasa memberikan sokongan kepada usaha kerajaan sekaligus tidak wujud lagi jurang persepsi bahawa kadar jenayah di negara ini masih tinggi kerana hakikatnya di bawah program transformasi kerajaan dan NKRA, kadar jenayah dapat dikurangkan pada tahap paling minimum.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar. - BERNAMA

Artikel Lain