suria

Laluan Bas RapidKL Beroperasi Semula Di Hentian Akhir Bandar Pasar Seni Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 laluan bas RapidKL akan beroperasi semula di Hentian Akhir Bandar Pasar Seni mulai Sabtu ini berikutan kerja menaik taraf Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selesai dilaksanakan.

Ketua Pegawai Operasi Bas RapidKL Mohd Azam Omar berkata bas RapidKL ke selatan termasuk Koridor Pudu, kekal beroperasi di hab bas berhampiran Mydin Sinar Kota.

Antara laluan bas RapidKL yang akan beroperasi di Hentian Akhir Bandar Pasar Seni adalah laluan A dari Jalan Hang Kasturi (platform A1-A8), laluan C dari Jalan Sultan Mohamed (platform C1-C3), laluan D dari Jalan Sultan Mohamed (platform D1-D6), laluan E dari Jalan Sultan Mohamed (platform E1-E3) dan laluan F dari Keretapi Tanah Melayu Kuala Lumpur (platform F1-F3), katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata Hentian Akhir Bandar Pasar Seni telah ditutup sementara oleh DBKL pada 27 Jun lepas untuk kerja menaik taraf dengan melibatkan 37 laluan bas RapidKL dipindah ke beberapa lokasi.

Mulai 22 Disember ini, sebanyak 28 daripada 37 laluan bas terlibat akan dipindah semula ke hentian itu.

Pengguna boleh menghubungi talian bantuan 03-7885 2585 atau melayari laman sesawang www.rapidkl.com.my untuk maklumat lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain