suria

Banglo Dipecah Masuk, Orang Kenamaan Rugi RM2 Juta

PETALING JAYA: Sebuah banglo dua tingkat milik seorang kenamaan di sini, dipecah masuk malam Selasa, dan mengakibatkannya kerugian kira-kira RM2 juta.

Mangsa yang berusia 70 tahun dan enggan dikenali itu berkata sepucuk pistol dan 62 biji peluru juga didapati hilang dari kediamannya.

Katanya kejadian berlaku ketika beliau dan lima penghuni lain termasuk seorang pembantu rumah keluar menghadiri satu majlis sejak pukul 3 petang semalam dan hanya kembali tengah malam Selasa.

Ketika tiba di rumah, didapati tingkap dapur terbuka dan setelah masuk ke dalam rumah saya dapati tiga bilik tidur di tingkat atas diselongkar dan enam utas jam tangan berjenama, barangan kemas, koleksi syiling emas serta wang tunai yang disimpan dalam peti keselamatan hilang, katanya kepada pemberita, di sini Rabu.

Selain itu, beberapa gajet elektronik termasuk iPad, kamera dan komputer turut lesap, katanya.

Menurut mangsa, kejadian itu merupakan yang keempat sejak beliau mendiami banglo berkenaan 31 tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain