suria

Anwar Cadang Sidang Meja Bulat Bincang Isu Pengeluaran Wang Haram

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pengurusan ekonomi Malaysia yang lemah menyebabkan negara tersenarai di tangga kedua paling buruk dalam pengeluaran wang haram.

Bagi menyelesaikan perkara itu, Anwar mencadangkan agar satu program meja bulat bagi membincangkan isu tersebut diadakan pada bulan Januari depan.

Beliau akan menjemput Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar, Global Financial Integrity (GFI) dan menteri besar daripada negeri yang diperintah Pakatan Rakyat (PR) pada program berkenaan.

"Selagi adanya rasuah, salah guna kuasa, dan kurangnya disiplin kerajaan dalam menguruskan ekonomi. Ekonomi negara kita tidak akan berkembang dan rakyat tidak akan terbela,” katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Khamis.

Beliau mendakwa, laporan terkini GFI menunjukkan Malaysia berada di tangga kedua paling buruk dalam pengeluaran wang haram pada 2010.

Jumlah wang haram meningkat 111 peratus daripada AS$30.4 bilion (RM94.27 bilion) pada 2009 kepada AS$64.38 bilion pada 2010.

Anwar turut menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat supaya beliau boleh mempertahankan polisi ekonominya yang didakwa gagal menangani rasuah dan aktiviti jenayah.

"Saya percaya isu yang paling penting ketika pilihan raya akan datang adalah berkenaan pentadbiran baik dan pengurusan ekonomi,” katanya lagi.

Artikel Lain