suria

Agensi Pembantu Rumah Tingkatkan Kadar Bayaran Perkhidmatan Mengikut Jam

GEORGE TOWN: Majikan kini perlu membayar lebih untuk pekerja sambilan Indonesia mengikut kadar jam mereka bertugas.

Satu tinjauan yang dibuat oleh The Star mendapati bahawa beberapa agensi pembantu rumah di Pulau Pinang telah menaikkan kadar setiap jam dari RM10 kepada RM11 sejak September lalu.

Agensi-agensi mendakwa mereka terpaksa meningkatkan caj untuk menampung kos pengangkutan membawa pekerja ke rumah.

Pemilik agensi pembantu rumah, Ong Beng San, 51, berkata, dia terpaksa meningkatkan kadar kerana beberapa pelanggannya tinggal di kawasan pinggir bandar.

"Mayarakat Pulau Pinang sanggup untuk membayar kerana fleksibiliti yang ditawarkan oleh perkhidmatan pembantu rumah sambilan," katanya pada Rabu, sambil menambah bahawa pelanggan dikehendaki untuk menggunakan perkhidmatan pembantu rumah untuk sekurang-kurangnya empat jam setiap kali.

Sementara itu, agensi pembantu rumah di Butterworth berkata kos telah meningkat dari RM45 hingga RM50 selama lima jam.

"Agensi kami menaikan harga pada bulan Oktober kerana kos tinggi untuk membawa pembantu rumah Indonesia ke Malaysia.

"Terdapat juga permintaan yang tinggi bagi pembantu rumah Indonesia," kata seorang pekerja, Kavitha.

Pesara Khoo Boo Teong, 60, tidak keberatan membayar lebih tinggi untuk perkhidmatan tersebut.

"Kami membayar RM8 bagi setiap jam beberapa tahun lalu, tetapi untuk kemudahan, keluarga saya sanggup untuk membayar tambahan," katanya.

Artikel Lain