suria

Usaha Dipertingkat Pastikan Proses Pengambilan Pembantu Rumah Indonesia Berjalan Lancar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menegaskan tentang pentingnya kedua-dua negara melaksanakan sepenuhnya dan secara konsisten peruntukan yang terkandung dalam Protokol Untuk Meminda Memorandum Persefahaman Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Wisma Putra di sini pada Rabu, kedua-dua pemimpin itu meminta Kumpulan Kerja Bersama (KKB) dan Pasukan Petugas Bersama (PPB) meningkatkan perbincangan dan dialog bagi memastikan keberkesananan pelaksanaan Protokol dan MoU berkenaan, yang ditandatangani di Bandung, Indonesia pada 30 Mei tahun lepas.

Yudhoyono, yang diiringi 10 menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan Indonesia, mengakhiri Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia kesembilan di sini, Rabu dan meninggalkan Malaysia selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepimpinan Keamanan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga Canselor UUM.

Kenyataan itu berkata perundingan tersebut berlangsung dalam suasana mesra, yang mencerminkan hubungan kukuh, ikhlas dan istimewa antara kedua-dua negara dan pemimpin.

Sebagai komitmen mereka ke arah memperkukuh hubungan itu, kedua-dua pemimpin membuat penilaian terhadap kerjasama yang sedang diadakan serta meneroka bidang baharu yang mempunyai potensi ke arah memantapkan gandingan yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta bersetuju untuk mengatasi segala cabaran dua hala secara baik melalui dialog dan perundingan, katanya.

Mengenai perlindungan untuk rakyat dari kedua-dua negara, Wisma Putra berkata Najib dan Yudhoyono menegaskan tentang pentingnya bagi Malaysia dan Indonesia bekerjasama rapat untuk menambah baik dan memperkemas mekanisme komunikasi sedia ada.

Mereka berpuas hati dengan trend positif aliran pelancong dua hala yang membantu merapatkan hubungan antara rakyat dan rakyat dan meminta para pegawai memuktamadkan pembaharuan Memorandum Persefahaman Mengenai Kerjasama Dalam Bidang Pelancongan.

Mereka juga mengimbau kembali perundingan yang diadakan pada tahun lepas serta melahirkan perasaan puas hati dengan kemajuan besar yang dicapai sepanjang tahun itu dan sebagai susulan, kedua-dua pemimpin memberi perhatian terhadap cadangan untuk mengadakan program pertukaran kunjungan bagi para pegawai kanan dari kedua-dua negara, dengan program pertama akan diadakan di Malaysia pada 2013.

Najib dan Yudhoyono juga meneliti kemajuan yang dicapai berhubung isu sempadan darat dan maritim antara kedua-dua negara, terutama penandaan sempadan tanah Malaysia-Indonesia di Kalimantan dan penandaan sempadan maritim Malaysia-Indonesia di Laut Sulawesi, Laut China Selatan, Selat Melaka dan Selat Singapura.

Mereka sependapat tentang perlunya isu-isu ini diselesai dengan segera dan sejajar dengan itu, menggesa pegawai dari kedua-dua negara supaya mengekalkan momentum konstruktif yang terdapat dalam proses rundingan yang sedang dijalankan.

Yudhoyono menyatakan penghargaan beliau terhadap Kerajaan Malaysia kerana menyokong dan memberi permit bagi penubuhan 22 Pusat Pembelajaran Komuniti (PPK)di bawah naungan Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) di Sabah untuk kanak-kanak pekerja Indonesia dari kawasan ladang.

Ini termasuk pemberian permit kepada 58 guru Indonesia untuk mengajar di PPK dan kedua-dua pemimpin memberi perhatian tentang kemungkinan lebih banyak PPK perlu ditubuhkan di kawasan ladang di Sabah pada masa akan datang.

Najib dan Yudhoyono juga memuji Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) kerana menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro pada 15 Oktober 2012 di Manila dan presiden Indonesia itu melahirkan penghargaannya kepada Kerajaan Malaysia kerana peranannya sebagai orang tengah antara Kerajaan Filipina dan MILF dalam usaha mewujudkan keamanan di Selatan Filipina.

Najib pula menyatakan penghargaan beliau terhadap penyertaan Indonesia dalam Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) di Mindanao, sejak Julai 2012 dan peranannya sebagai pemudahcara antara Kerajaan Filipina dan MNLF dalam usaha lain ke arah mewujudkan keamanan di Selatan Filipina.

Kedua-dua pemimpin meneruskan perbincangan tentang pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama seperti usaha ke arah penubuhan Komuniti Asean pada 2015.

Najib dan Yudhoyono berpuas hati dengan hasil perundingan itu dan percaya ia adalah cara berkesan untuk memperkukuh hubungan strategik yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia, serta menilai kerjasama yang ada dan akan mewujudkan peluang dalam konteks forum dua hala, serantau dan global.

Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Rundingan Tahunan akan datang diadakan di Indonesia pada 2013. - BERNAMA

Artikel Lain