suria

Sembilan Mayat Mangsa Bot Karam Ditemui Di Pantai Teluk C

Penduduk kampung turut membantu mencari dan mengangkat mayat mangsa lemas bot karam yang ditemui di pantai kawasan Teluk C berhampiran kawasan kolam udang lama Bandar Penawar, Johor. - fotoBERNAMA
Penduduk kampung turut membantu mencari dan mengangkat mayat mangsa lemas bot karam yang ditemui di pantai kawasan Teluk C berhampiran kawasan kolam udang lama Bandar Penawar, Johor. - fotoBERNAMA
Penduduk kampung turut membantu mencari dan mengangkat mayat mangsa lemas bot karam yang ditemui di pantai kawasan Teluk C berhampiran kawasan kolam udang lama Bandar Penawar, Johor. - fotoBERNAMA

KOTA TINGGI: Satu lagi mayat dipercayai mangsa bot karam ditemui terdampar di Pantai Teluk C berhampiran Bandar Penawar di sini petang Rabu.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, ACP Zainul Abidin Hasan, berkata mayat wanita berkenaan ditemui terdampar 500 meter dari lokasi mayat pertama yang ditemui 4 petang semalam menjadikan jumlah mangsa ditemui setakat ini sembilan orang - lima lelaki, empat wanita.

"Sehingga jam 4 petang ini, pasukan mencari dan menyelamat dengan bantuan nelayan dan penduduk tempatan telah menemui sembilan mayat terdampar di pantai berkenaan," kata Zainul Abidin ketika dihubungi di sini Rabu.

Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat kanak-kanak yang turut menjadi mangsa dalam tregedi itu berdasarkan penemuan lampin dan pakaian kanak-kanak di pantai berkenaan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat membabitkan PPM, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat masih diteruskan.

Difahamkan bot yang membawa 15 penumpang warga Indonesia itu berlepas Isnin lalu dari Bandar Penawar melalui laluan haram menuju ke Batam, Indonesia sebelum karam lima kilometer dari lokasi mereka berlepas setelah bot mereka mengalami masalah.

Kesemua sembilan mayat itu telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata, pesisiran pantai Teluk C itu merupakan salah satu tempat pendaratan dan tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.

Menurutnya hampir seluruh negeri Johor sering menjadi sasaran untuk menjadi pintu masuk haram PATI dari negara jiran memandangkan negeri ini sebahagian besarnya dikelilingi laut.

"Kes bot karam yang melibatkan warga asing seperti ini bukan satu-satunya kes yang pernah berlaku," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan, supaya menghubungi Balai Polis Kota Tinggi di talian 07-8831222.

Sementara itu Nafi Sarji, 45, bapa kepada salah seorang mangsa bot karam Norhasanah Nafi, 14, berkata dia tidak menyangka anak sulungnya itu bertindak bersendirian untuk pulang ke kampung bertemu ibunya di Ketapang, Jawa Timur, Indonesia.

Nafi, pemastautin tetap negara ini berkata kali terakhir bertemu Nurhasanah pada minggu lepas di mana mangsa ada menyatakan hasrat untuk bertemu ibunya di kampung kerana rindu.

"Namun saya menasihatkannya supaya bersabar kerana belum mendapat gaji lagi," katanya yang bekerja sebagai buruh binaan di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

Beliau percaya anaknya yang sudah tidak bersekolah selepas darjah enam dan tinggal bersama saudaranya itu di Kajang bertindak demikian selepas mengikut ajakan kawannya. - BERNAMA

Artikel Lain