suria

Polis Filipina Sedia Serahkan Mayat Mohd Noor Fikrie

PETALING JAYA: Polis Filipina bersedia untuk menyerahkan mayat warganegara Malaysia yang dipercayai anggota Jemaah Islamiyah (JI) Mohd Noor Fikrie Abd Kahar yang ditembak mati di bandar Davao baru-baru ini.

Ketua Polis Bandar Davao, Ronald de la Rosa berkata, polis menjangkakan keluarga Mohd Noor Fikrie untuk menuntut mayat tersebut pada Selasa.

"Kita bersedia menyerahkan mayat itu. Kita menjangkakan keluarganya akan tiba dan menuntut mayat itu hari ini tetapi mereka tidak melakukannya," katanya pada Selasa.

Mohd Noor Fikrie dari Kedah maut di bandar Davao pada malam Jumaat selepas mengancam untuk meletupkan bom buatan sendiri dalam sebuah beg sandang.

Dia dikenal pasti berdasarkan pasport Malaysia yang ditemui bersamanya manakala isteri suspek, Annabel Nieva Lee ditahan.

Sejak plot keganasan itu gagal dilancarkan pada malam Jumaat, de la Rosa berkata, pihak polis menjalin kerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia.

"Situasi menjadi lebih tenang di Davao tetapi masih dalam pengawasan. Kita masih berwaspada dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Mengenai isteri Mohd Noor Fikrie, de la Rosa berkata, dia ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Keganasan) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun berkata keluarga Mohd Noor Fikrie berlepas ke Davao kira-kira pukul 6.30 pagi Selasa.

"Mereka diiringi tiga anggota polis," katanya.

Artikel Lain