suria

Polis Buru Tiga Lelaki Cuba Samun Pasar Raya 24 Jam

KUALA LUMPUR: Polis memburu tiga rakan penjenayah yang ditembak mati oleh polis semasa menyamun sebuah pasar raya 24 jam di Taman Sri Rampai di sini, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata wajah ketiga-tiga suspek berumur 20-an itu dirakam dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya tersebut, dengan salah seorang mereka sedang berada di dalam pasar raya itu semasa kejadian, dan dua lagi di luar premis.

"Kami percaya mereka mempunyai dua kumpulan dan bergerak secara berasingan," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Dalam kejadian 4.40 pagi itu, seorang daripada empat suspek terkena tembakan yang dilepaskan polis, manakala seorang lagi melarikan diri.

Suspek yang maut itu mengugut juruwang pasar raya tersebut dengan mengacukan parang di leher mangsa sehingga menyebabkan kecederaan ringan.

Khairi berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Hotline Polis KL (RAKANCOP) di talian 03-21159999 dan Bilik Gerakan JSJ IPK Kuala Lumpur 03-21460685.

Sementara itu, seorang lelaki yang ditembak mati polis selepas cuba menyamun sebuah pusat internet di Taman Len Seng dekat sini semalam, memiliki empat rekod jenayah lampau dan kesalahan dadah.

Khairi berkata suspek berusia 33 tahun dan berasal dari Taman Desa Baiduri, Cheras itu ditembak seorang anggota polis yang kebetulan membuat risikan di kawasan tersebut.

"Kita turut menjumpai lapan tiub dadah jenis heroin dalam beg galas termasuk satu dalam dompet mangsa di tempat kejadian," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam semalam, suspek bersama seorang lagi rakannya yang bersenjatakan parang memasuki premis tersebut sebelum ditembak seorang anggota polis yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata, katanya sambil menambah suspek yang melarikan diri masih diburu polis. - BERNAMA

Artikel Lain