suria

PM Ketuai Delegasi Malaysia Ke Sidang Kemuncak Asean-India

NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India di New Delhi pada 20-21 Disember 2012.

Perdana Menteri bersama-sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, akan disertai oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk G. Palanivel dan Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan bagi Infrastruktur Datuk Seri S. Samy Vellu, serta para pegawai kanan Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, demikian menurut Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sidang kemuncak itu, yang bertemakan "Perkongsian Asean-India bagi Keamanan dan Perkongsian Kemakmuran", adalah kemuncak kepada beberapa peristiwa seperti Rali Kereta Asean-India, Lawatan kapal INS Sudarshini ke negara-negara Asean dan Forum Perniagaan Asean-India yang diadakan sempena peringatan hubungan 20 tahun Asean-India, katanya.

Sidang kemuncak itu, yang akan dihadiri oleh kesemua pemimpin Asean dan Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh, dijangka menerima Kenyataan Wawasan Asean-India, yang mengandungi cadangan dari Kumpulan Tokoh Terkemuka Asean-India (AIEPG).

Kenyataan Wawasan itu bermatlamat meningkatkan lagi hubungan Asean-India ke paras perkongsian strategik dan meliputi beberapa inisiatif di bawah tiga bentuk utama kerjasama politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Selain mengambil bahagian di dalam sidang kemuncak itu, Perdana Menteri akan turut menghadiri majlis makan malam gala dan program kebudayaan yang dihoskan oleh Kerajaan India dan majlis pelepasan Rali Kereta Asean-India di New Delhi.

Di luar sidang kemuncak itu, Najib dijadualkan mengadakan hubungan dua hala dengan rakan sejawatannya dari India itu. - BERNAMA

Artikel Lain