suria

Penarik Kereta Parah Ditembak Ketika Minum Di Restoran

PETALING JAYA: Seorang penarik kereta cedera parah apabila ditembak ketika sedang minum bersama bapa saudara dan abang iparnya di sebuah restoran di Puchong Permai dekat sini pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata mangsa yang berusia 29 tahun itu didatangi seorang lelaki yang berbadan gempal dan memakai topi keledar yang mempunyai penutup berwarna gelap pada 9 pagi.

"Tiba-tiba lelaki itu melepaskan satu das tembakan yang mengenai bahagian belakang kepala mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal bersama rakannya yang menunggu di luar kedai itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Yahaya berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Serdang dan keadaannya masih kritikal.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat di talian 013-3920694 atau 03-56332222. Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain