suria

Peguam Yasmeen, Rakyat Malaysia Pertama Dilantik Anggotai CRC

NEW YORK: Peguam Yasmeen Muhammad Shariff, seorang anggota majlis eksekutif Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia, menjadi rakyat Malaysia yang pertama dipilih menganggotai Jawatankuasa Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (CRC) pada Selasa.

Yasmeen, 55, memperoleh 150 undi daripada 189 Negara Pihak yang menghadiri mesyuarat berkenaan, iaitu undi ketiga tertinggi selepas calon dari Brazil, Wanderlino Nogueira Neto, yang meraih 161 undi dan calon Austria, Renate Winter (153).

Calon lain yang dipilih ke jawatankuasa itu ialah Maria Rita Parsi (Itali), Benyam Dawit Mezmur (Ethiopia), Olga A. Khazova (Persekutuan Rusia), Sara de Jesús Oviedo Fierro (Ecuador), Peter Guran (Slovakia) dan Amal Aldoseri (Bahrain).

Mereka akan menggantikan anggota sedia ada, yang tamat perkhidmatan pada 28 Februari 2013 bagi tempoh penggal empat tahun.

Jawatankuasa itu merupakan sebuah badan terdiri daripada pakar bebas yang memantau pelaksanaan Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak oleh Negara Pihak.

CRC turut memantau pelaksanaan dua Protokol Pilihan konvensyen berkenaan iaitu Pembabitan Kanak-kanak dalam Konflik Bersenjata dan mengenai Penjualan Kanak-kanak, Pelacuran Kanak-kanak dan Pornografi Kanak-kanak.

Yasmeen, yang terlibat dalam menambah baik sistem keadilan juvenil dengan memperkenalkan alternatif kepada hak penjagaan, menganjurkan klinik bantuan guaman bagi kanak-kanak yang menghadapi konflik undang-undang di penjara dan pusat tahanan, menerima anugerah 'Justice Maker Award' daripada 'International Bridges to Justice' (IBJ), Geneva, Switzerland pada 2010 kerana tugas beliau dalam membawa perubahan dalam bidang Sistem Perundangan Juvenil di Malaysia.

Peguam itu, yang berasal dari Kuala Lumpur dan memiliki ijazah sarjana dalam Undang-undang Perbandingan dari Universiti Islam Antarabangsa dan Sarjana Muda Undang-undang dari University of Buckingham, United Kingdom, berpengalaman luas dalam undang-undang Syariah dan Sivil.

Yasmeen, seorang pengantara keluarga terlatih dan bertauliah dari University of Florida, Amerika Syarikat, dilantik oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai anggota Majlis Penasihat dan Perundingan Kebangsaan mengenai Kanak-kanak, Majlis Penyelarasan Kebangsaan bagi Perlindungan Kanak-kanak sejak 2006, Majlis Penasihat Wanita Kebangsaan (2001-2013) dan Jawatankuasa Khas mengenai Tempat Tahanan Mesra Kanak-kanak (2010-2012).

Sementara itu semasa ditemui Bernama di Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini, Yasmeen yang bersyukur kerana terpilih menganggotai jawatankuasa itu, melahirkan rasa terkejut kerana memperoleh 150 daripada 189 undian secara 'undian rahsia', kerana beliau hanya menjangka untuk memperoleh sekitar 130 undi sahaja.

"Saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini, dan keputusan yang diperoleh hari ini (Rabu) adalah hasil usaha semua pihak yang terlibat, dan saya bertuah dan bangga mendapat pelbagai bantuan dan kerjasama daripada Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Haniff dan timbalannya Datuk Saiful Abdullah, pengurus kempen Farisha Salim, serta semua pegawai dan kakitangan di pejabat Perwakilan Malaysia di sini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain