suria

Lebih 400 Permohonan Skim Rumah Pertamaku Bernilai RM66.5 Juta Diluluskan

KUALA LUMPUR: Sejumlah 436 permohonan Skim Rumah Pertamaku diluluskan dengan nilai pinjaman berjumlah RM66.5 juta sehingga akhir Oktober lepas, persidangan Dewan Negara diberitahu Rabu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata daripada jumlah itu sebanyak 337 pinjaman berjaya mendapat jaminan dengan nilai pinjaman berjumlah RM50.1 juta dan bakinya masih dalam proses mendapat jaminan.

"Peminjam yang berjaya mendapat jaminan terdiri daripada pelbagai kaum yang mana kaum Cina seramai 175 orang (52.5 peratus), Melayu 116 orang (34 peratus) dan India 38 orang (11.1 peratus)," katanya menjawab soalan Senator Datuk S.Nallakaruppan di sini.

Awang Adek berkata keputusan muktamad pembiayaan bergantung kepada kemampuan pemohon dan penilaian kredit oleh institusi kewangan yang terlibat.

Skim yang dilancarkan pada Mac tahun lepas bertujuan membantu golongan muda yang baru bekerja memiliki rumah sendiri dengan pembiayaan sehingga 100 peratus dan tidak perlu membayar wang pendahuluan sebanyak 10 peratus.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun berkata projek Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi infrastruktur asas luar bandar telah memberi manfaat kepada 3.2 juta penduduk bermula tahun 2010 sehingga 31 Oktober lepas.

"Sehingga 31 Oktober lalu, projek jalan luar bandar (JALB) dibina sepanjang 3,036.58 kilometer yang memberi manfaat kepada 1.5 juta penduduk manakala projek bekalan air bersih (BALB) disalurkan kepada lebih 1 juta penduduk untuk 211,779 rumah.

"Projek bekalan elektrik (BELB) pula disambung untuk 82,871 buah rumah yang memberi manfaat kepada 414,355 penduduk dan sebanyak 45,232 buah rumah telah dibina dan dinaik taraf, melibatkan 226,160 penduduk," katanya menjawab soalan Senator Toh Puan Zaitun Mat Amin. - BERNAMA

Artikel Lain