suria

Kanak-Kanak Tiga Tahun Diseret 10km Dalam Kemalangan Di Plus

NIBONG TEBAL: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut apabila diseret sejauh 10 kilometer selepas tercampak keluar daripada kereta yang dinaikinya, dalam kejadian di Km 168.4 Lebuhraya Utara-Selatan malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata mayat Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam ditemui dalam keadaan menyayat hati di Hentian Sungai Bakap, tiga jam selepas kejadian pada pukul 8.45 malam itu.

Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu bapa mangsa, Said Ibnu Aslam GM Ismail, 47, cuba mengelak daripada melanggar seekor binatang, menyebabkan kenderaan itu berpusing sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan diheret kenderaan lain, sementara tiga lagi adik beradik mangsa tercampak ke dalam longkang, katanya kepada pemberita, di sini Rabu.

Mereka dikenali Zulqarnain Aslam, 14, Sharol Ramadhan, 12 dan Nur Aisyah Aslam, 2. Semua mereka termasuk bapa hanya mengalami cedera ringan, katanya.

Menurut Mohd Shafien, dua lagi penumpang iaitu ibu mangsa Nuris Berutu, 40, dan adik perempuannya Nurjadi, 28, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Difahamkan keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Ipoh dan polis yakin kereta itu dipandu dengan begitu laju," katanya.

Menurutnya semua mangsa kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dan keadaan mereka dilapor stabil.

Shafien berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM10,000 serta digantung lesen memandu selama setahun, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain