suria

Bekas Kerani Jualan Didakwa Pecah Amanah Babitkan Jualan Tiket Berjumlah RM127,646

KUALA LUMPUR: Seorang bekas kerani jualan di sebuah syarikat penerbangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan hasil jualan tiket berjumlah RM127,646.

Rahimah Samsu, 53, didakwa melakukan pecah amanah apabila tidak menyerahkan wang hasil jualan syarikat Iran Air berjumlah RM127,646 kepada syarikat itu seperti yang diamanahkan kepadanya.

Rahimah yang merupakan ibu tunggal didakwa melakukan perbuatan itu di Iran Air, Blok B, Megan Avenue 2, Dang Wangi dekat sini pada sekitar bulan Januari hingga Mac lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.

Bagaimanapun Rahimah memohon kepada mahkamah agar wang jaminan dikurangkan atas alasan dia merupakan ibu tunggal kepada enam anak.

"Selain itu gaji saya dipotong tiap-tiap bulan tanpa ada sebarang hitam putih daripada majikan," katanya.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Januari depan untuk sebutan lantik peguam. - BERNAMA

Artikel Lain